Sejarah Parit diceritakan suatu ketika dahulu, dua orang perantau dari Teluk Intan Perak, Ngah Sagor dan Alang Ghafar telah berhijrah ke Parit melalui sungai Perak kira-kira awal abad ke 20. Mereka dikatakan berhijrah ke Parit setelah kalah bertaruh wang dalam satu permainan tradisional tempatan yang diberi nama "Semperit ". Tidak diketahui bentuk dan cara permainan itu dilakukan begitu juga hubungan dua insan ini sama ada rakan sekampung atau ada tali persaudaraan.
Dua perantau berkenaan mengambil keputusan meninggalkan Teluk Intan dan mudik ke utara hingga sampai ke tebing sungai Perak berhampiran Sekolah Chong Hua Parit (tidak jauh dari balai polis Parit sekarang). Keadaan pekan Parit diwaktu itu hutan belantara dan mereka bertanya satu sama lain nama tempat itu, kata Ngah Sagor oleh kerana mereka mendarat disekitar kawasan parit/alur sungai berhampir di situ, maka Ngah Sagor menamakannya "Parit" sempena nama alur tersebut yang sekarang terletak berhampir pasar Parit.
Antara cerita lain, mengikut sumber dari penghulu kampung Daerah Parit, Parit mendapat nama dari peneroka asal iaitu Tok Parit. Tok Parit yang dinyatakan adalah merupakan warga Sumatera dan merupakan peneroka asal Pekan Parit. Kebanyakkan orang asal di Parit merupakan orang Kampar, Sumatera. Namun bagaimanapun, penempatan awal merupakan di tebing Sungai Perak dengan penduduk asal dalam lingkungan sepuluh rumah dan 30 orang penduduk. Dipercayai sekitar tahun 1600 Tok Parit telah datang ke semenanjung Malaysia dan meneroka kawasan Parit (Boldeye, 2005).